PERATURAN DALAMAN

KATA-KATA ALUAN PENGARAH

KOLEJ MATRIKULASI MELAKA

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Saudara-saudari yang budiman,

Bersyukur ke hadrat Ilahi atas limpah dan kurnia-Nya, kita dapat merealisasikan buku Peraturan Dalaman (Local Rules) Kolej Kediaman, Kolej Matrikulasi Melaka, Edisi Kelima 2013.

Peraturan Dalaman ini diharapkan dapat memberi satu panduan kepada para pelajar dalam usaha kita untuk menghasilkan pelajar yang berdisiplin tinggi, berwibawa dan mempunyai pengurusan diri yang baik sejajar dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Potensi insan yang seimbang akan pudar sekiranya tiada usaha yang berterusan untuk menggilap dan mencernakannya agar sentiasa berada dalam kategori pelajar yang cemerlang.

Peraturan Dalaman ini telah disusun berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan oleh Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia dan disesuaikan dengan keadaan semasa dan persekitaran Kolej Matrikulasi Melaka. Para pelajar diharapkan dapat menimba pengalaman serta pengetahuan tentang peranan dan tanggungjawab mereka terhadap diri sendiri, masyarakat dan negara. Justeru itu, aspek pembinaan insan berketrampilan mulia dan berperibadi tinggi adalah antara agenda terhasilnya Peraturan Dalaman ini.

Saya dengan ini mengesahkan bahawa Peraturan Dalaman (Local Rules) Kolej Kediaman yang telah disediakan oleh pihak Pengurusan Kolej Kediaman adalah diterima sebagai satu peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua pelajar Kolej Matrikulasi Melaka. Akhir kata,

“ Tanda akal seseorang itu ialah tingkah lakunya dan tanda ilmu seseorang itu ialah perkataannya “

Sekian, terima kasih.

“KECEMERLANGAN ANDA KEJAYAAN KAMI”

 

       

IDRIS BIN ISMAIL

Pengarah,

Kolej Matrikulasi Melaka

19 April 2013